SempoRna, Sabah


~FAKTA MENGENAI SEMPORNA, MUTIARA MALAYSIA~

1. Secara geografi, Semporna adalah sebuah pulau yang besar. Ia dihubungkan ke tanah besar dengan Jambatan Pegagau. Ketua Menteri Sabah Datuk Peter Lo merasmikan pembukaan jambatan tersebut pada awal tahun 1965.

2. Sebutan yang betul bagi Semporna ialah Sampulna' mengikut gaya percakapan kaum Bajau tempatan. Begitu juga dengan nama-nama pulau seperti Sibuan (disebut Sibuun), Sipadan (disebut Siparan), Mabul (disebut Mabbul) dan lain-lain.

3. Dalam Rancangan Malaysia Ke-9, Kerajaan Malaysia telahpun mewartakan pembinaan jambatan panjang dari Pekan Semporna ke Pulau Bum-Bum, pulau yang terbesar di daerah Semporna. Pembinaan jambatan ini kelak akan merancakkan ekonomi tempatan dan membuka peluang pembangunan yang lebih besar ke Pulau Bum-Bum. Pulau Bum-Bum terkenal dengan pantainya yang landai menyebabkan ianya menjadi tempat pembiakan ketam yang subur. Produk ketam pulau ini (seperti isi ketam dan bebola ketam) dieksport hingga ke luar negeri.

4. Daerah Semporna sebenarnya kurang dikenali berbanding Pulau Sipadan walaupun pulau ini terletak dalam daerah Semporna. Selalunya Pulau Sipadan dirujuk kepada 'Sipadan - Sabah' atau 'Sipadan - Tawau' kerana di bandar-bandar besar Sabah terdapat banyak agensi pelancongan yang mempromosikannya.

5. Dari segi politik tempatan dan negara, Daerah Semporna telah melahirkan ramai pemimpin diantaranya Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal (Menteri Kebudayaan dan Kesenian Malaysia), Datuk Nasir Tun Sakaran, Datuk Hj. Herman Mohammad, Datuk Hj. Ramlee Marhaban, Datuk Basalie Abd. Hamid, Datuk Hj. Mohd. Lan Allani, Datuk Hj. Samsu Bahrun Hj. Abd. Rahman, Datuk Jasa Datuk Hj. Rauddah, Datuk Hj. Mohd. Yusof Jamlee, Tuan Hj. Salleh Kalbi (Ahli Parlimen Silam) dan Mantan Tuan Yang Terutama Negeri Sabah iaitu Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Sakaran Bin Dandai.

6. Semporna merupakan daerah paling hujung di Malaysia. Ia bersebelahan dengan persempadanan antarabangsa Negara Filipina dan Indonesia. Oleh sebab itu penduduk disini agak unik kerana telah bercampur-gaul dengan suku bangsa Filipina dan Indonesia dan menyebabkan bahasa dan budaya di sini berwarna-warni. Dari jeti di pekan Semporna, anda cuma perlukan 1 jam sahaja lagi untuk belayar ke selatan Filipina!

7. Terdapat 49 buah pulau di Semporna, namun kebanyakkannya tidak dihuni. Untuk tujuan kedaulatan dan keselamatan negara, pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mewujudkan bit-bit tentera di kebanyakkan pulau. Pihak TLDM dan Polis Marin juga sentiasa mengawasi persempadanan setiap masa.

8. Dua buah pulau yang terkenal disebabkan pertikaian kedaulatan Malaysia-Indonesia ialah Pulau Ligitan dan Sipadan. Pada tahun 2002, pihak Mahkamah Antarabangsa (ICJ) telah memutuskan yang kedua-dua pulau ini milik Malaysia. Untuk mengekalkan keindahan alam semulajadi dasar laut Pulau Sipadan, Kerajaan Malaysia telah memutuskan yang semua bahan binaan buatan manusia di bongkar dan dikosongkan pada tahun 2004. Kini Pulau Sipadan benar-benar menjadi 'syurga' para penyelam.

9. Terdapat banyak syarikat produksi filem telah menerbitkan pelbagai iklan, dokumentari, cereka pendek dan filem di Semporna. Antara yang terkenal adalah dokumentari National Gegraphic dan filem 'Duyong' keluaran KRU Films.

10. Sesiapa sahaja yang berkunjung ke Semporna pasti tidak akan melupakan pengalaman menikmati makanan laut yang segar di sini. Sejak dahulu lagi Semporna memang terkenal sebagai pengeluar bahan laut yang berkualiti tinggi. Antara bahan laut yang agak 'ganjil' tetapi istimewa disini ialah 'ikan bolong', 'ikan belawis (laimang)', 'ikan buntal', 'kamun (udang mantis)', 'kahanga (siput laut)', 'kima (kerang gergasi)', ikan tuna (yellowfin and bluefin), sirip ikan jerung (sharkfin) dan banyak lagi. Sifat perairan Semporna yang tenang tanpa gelombang di Lautan Sulu ini merupakan tempat spesis-spesis ini membiak. Malah ada juga spesis dari Australia yang hanya datang ke sini untuk bertelur sahaja setiap tahun. Begitu juga dengan penyu yang pelbagai spesis turut mengunjungi pantai pulau-pulau Semporna untuk bertelur.

11. Semporna merupakan pusat penternakan mutiara dan rumpai laut terbesar di Sabah. Produk ini dieksport hingga ke luar negeri.

12. Industri kelapa sawit merupakan bidang pertanian yang dominan di Semporna. Oleh itu jangan hairan jika disepanjang perjalanan anda dari lapangan terbang Tawau ke Semporna anda akan melihat hanya ladang-ladang kelapa sawit sahaja. Kelapa sawit telah menggantikan penanaman koko dan kelapa yang satu masa dahulu diusahakan oleh penduduk tempatan.

13. Kepada pengunjung muslim dari Sarawak dan Semenanjung Malaysia, hati-hati dengan waktu sembahyang atau berbuka puasa apabila berkunjung ke Semporna. Ini kerana daerah ini mendapat cahaya matahari terlebih dahulu berbanding tempat anda. Jika pada bulan puasa, waktu maghrib di sini adalah seawal jam 5.49 petang! Begitu juga dengan waktu subuh, ia bermula seawal jam 4.38 pagi. Terbit matahari adalah seawal jam 6.00 pagi.

14. 'Payau' merupakan bahasa tempatan merujuk kepada rusa. 'Nasi Payau' merupakan juadah istimewa yang boleh dipesan di restoran tempatan Semporna. Nasi payau (Nasi daging rusa) dihidangkan dengan nasi putih dan hirisan tipis daging rusa masak halia. Selain menu ini, anda digalakkan untuk mencuba 'kuehtiow basah - seafood' dan 'ikan belawis masak sup-sayur'.

15. Suku kaum Bajau, Suluk dan Bugis yang terdapat di daerah Semporna adalah dari kumpulan suku-bangsa 'Malayo-Polinesia'. Keturunan bangsa-bangsa ini beragama Islam turun-temurun dan mengekalkan adat-budaya mereka. Kaum 'melayu' disini adalah merujuk kepada keturunan bangsa dari Semenanjung Malaysia. Namun budaya suku kaum yang disebutkan ini tidak jauh dari adat Melayu. Selain dari bertutur dalam bahasa ibunda, mereka juga bertutur dalam Bahasa Melayu (dialek Sabah). Adat-adat lain seperti menghormati tetamu, memuliakan golongan yang lebih tua, perkahwinan dan majlis sambutan perayaan adalah sama seperti kaum melayu lain.

16. Kaum Bajau Semporna dan Palauh adalah dua bangsa yang berbeza. Sebenarnya perkataan 'Bajau-Laut' yang merujuk kepada 'palauh' adalah tidak tepat dan disalahertikan. Kaum Palauh ini hidup di perahu, kebanyakkannya tidak ada agama dan tergolong dalam kumpulan 'orang asli'. Mereka hanya singgah ke daratan untuk mendapatkan keperluan harian dan kecemasan. Perkara menarik tentang Palauh adalah mereka 'tidak berasa takut' dengan haiwan laut biar sebesar mana sekalipun. Mereka juga pelayar dan penyelam yang handal. Palauh dilindungi oleh PBB (United Nation) dan kaum ini tiada kena-mengena dengan orang kepulauan Republik Palau di kawasan utara Laut Pasifik.

~copy by ::   (link) :: ~ 

Catatan Popular