~ Di seBaLik cerita RUMPAI LAUT, Semporna Pengeluar TErbesar MALAYSIA ~

~ JusT read :: Semporna :: ~

Projek Penanaman Rumpai Laut.

Daerah Semporna berada pada kedudukan strategik 'ladang' penanaman terbaik rumpai laut di dunia. Ia berkongsi plat lautan dengan Selatan Filipina dan Utara Sulawesi. Kawasan ini sejak dahulu lagi merupakan tempat pembiakan pelbagai spesis karang-laut, rumpai laut, plakton dan pelbagai jenis ikan yang berwarna-warni. Secara semulajadi, ikan-ikan dan makanan laut disini bersaiz besar, segar dan tidak pernah berkurangan. Kunci kepada semua ini adalah kejernihan air laut yang mempunyai nutrien yang tinggi. Atas sebab-sebab ini, maka tidak hairanlah Semporna merupakan pusat penanaman rumpai laut terbesar di Malaysia.

Penanaman rumpai laut di Semporna dimulakan sejak 1970-an lagi. Ladang demonstrasi telah diwujudkan di Pulau Sebangkat pada tahun 1980. Penanaman rumpai laut merupakan alternatif kepada indusrtri perikanan di Semporna. Ramai nelayan dan pengusaha telah mula beralih kepada projek ini. Kini terdapat lebih 10 ladang besar di perairan Semporna.

Rumpai laut yang diusahakan adalah dari jenis 'Euchema cottonii' dan ia memberikan pulangan yang lumayan. Selain disokong oleh pihak berkuasa perikanan Sabah, kerajaan Malaysia juga telah mengisytiharkan yang industri rumpai laut sebagai 'berimpak tinggi' dalam Rancangan Malaysia Ke-Sembilan. Jesteru Daerah Semporna dikehendaki untuk menghasilkan 250,000 tan metrik rumpai laut pada tahun 2010.

Rumpai laut merupakan bahan asas untuk pembuatan sabun, kosmetik, syampoo, makanan dan gelatin. Ia juga boleh dijadikan snek, pembalut sushi, bahan asas ubat gigi dan lain-lain. Bahan utama yang diekstrak keluar dari rumpai laut adalah 'carrageenan'. Inilah bahan yang menjadi penstabil makanan dan kosmetik. Snek rumpai-laut merupakan makanan yang lazat, berprotein tinggi dan penuh dengan khasiat iodin, fosforus, kalsium, zat besi dan vitamin. Selain itu terdapat juga makanan tempatan yang berasaskan rumpai laut seperti 'acar rumpai laut' dan ' isi udang rumpai laut' yang mudah dinikmati di restoran-restoran tempatan.

Anda boleh melihat sendiri kawasan penanaman rumpai laut di perairan Semporna. Kebanyakkan pengendali pelancongan ada menyediakan pakej lawatan di ladang-ladang ini. Sebagai alternatif, jika anda berjalan melawat sekitar pasar ikan Semporna, anda mungkin terjumpa rumpai laut yang dijual oleh orang-orang tempatan.

Projek penanaman rumpai laut merupakan usaha yang berimpak tinggi, lumayan dan meningkatkan ekonomi penduduk Semporna. Banyak pihak dari dalam dan luar negeri melabur dalam industri ini. Apa yang kurang hanyalah kilang memproses rumpai laut yang setakat ini hanya ada 2 buah sahaja di Semporna. Kedua-dua kilang ini hanya memproses secara asas terhadap bahan mentah tadi. Tiada satupun kilang yang benar-benar wujud untuk memproses rumpai laut menjadi produk akhir, produk katalis atau produk makanan komersil di Semporna. Memandangkan potensi dan permintaan tinggi dari negara Jepun, Korea, Amerika Syarikat dan China, maka pihak berkuasa tempatan Semporna sangat mengalu-alukan bakal pelabur untuk menjayakan industri ini supaya target pengeluaran yang diwartakan oleh kerajaan Malaysia pada tahun 2010 berjaya.


Ulasan

Catatan Popular