SOLAT SUNAT GERHANA
:: HADITH dan CARA MENGERJAKAN SOLAT SUNAT GERHANA ::
Namun, para ulamak berbeza pendapat tentang hukum perlaksanaan solat Gerhana tersebut. Syeikh Muhammad bin ‘Umar bin Salim Bazmul pula menguatkan pendapat bahawa solat Gerhana ini hukumnya sunat mu’akkadah bersandarkan hadis berikut:
خَسَفَتْ الشَّمْسُ فِي عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَصَلَّى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِالنَّاسِ... ثُمَّ انْصَرَفَ وَقَدْ انْجَلَتْ الشَّمْسُ فَخَطَبَ النَّاسَ فَحَمِدَ اللَّهَ وَأَثْنَى عَلَيْهِ ثُمَّ قَالَ إِنَّ الشَّمْسَ وَالْقَمَرَ آيَتَانِ مِنْ آيَاتِ اللَّهِ لاَ يَخْسِفَانِ لِمَوْتِ أَحَدٍ وَلاَ لِحَيَاتِهِ فَإِذَا رَأَيْتُمْ ذَلِكَ فَادْعُوا اللَّهَ وَكَبِّرُوا وَصَلُّوا وَتَصَدَّقُوا ثُمَّ قَالَ يَا أُمَّةَ مُحَمَّدٍ وَاللَّهِ مَا مِنْ أَحَدٍ أَغْيَرُ مِنْ اللَّهِ أَنْ يَزْنِيَ عَبْدُهُ أَوْ تَزْنِيَ أَمَتُهُ يَا أُمَّةَ مُحَمَّدٍ وَاللَّهِ لَوْ تَعْلَمُونَ مَا أَعْلَمُ لَضَحِكْتُمْ قَلِيلًا وَلبَكَيْتُمْ كَثِيرًا
Maksudnya:
Terjadi gerhana matahari pada masa Rasulullah s.a.w lalu Rasulullah s.a.w mengimami solat orang ramai… Setelah baginda selesai solat, matahari telah kelihatan. Seterusnya baginda berkhutbah di hadapan manusia dengan memuji Allah serta menyanjung-Nya, kemudian bersabda:
Sesungguhnya matahari dan bulan tidak mengalami gerhana kerana kematian seseorang dan tidak pula kerana kehidupannya (kelahirannya). Tetapi, kedua-duanya adalah dua tanda antara tanda-tanda (kebesaran) Allah. Apabila kamu semua melihat hal itu itu maka berdoalah kepada Allah, bertakbir, bersolat dan bersedekah.
Kemudian baginda bersabda: Wahai umat Muhammad! Demi Allah, tidak ada seorangpun yang lebih cemburu daripada Allah apabila hamba-Nya sama ada lelaki atau wanita melakukan perzinaan. Wahai umat Muhammad! Sekiranya kamu semua mengetahui apa yang aku ketahui pasti kamu semua akan tertawa sedikit dan lebih banyak menangis. - Hadis riwayat al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Jumu’ah, no: 1044.
Tetapi, tanggapan ulamak berijmak (sepakat) bahawa solat Gerhana ini hanyalah sunat mu’akkadah kurang tepat kerana terdapat juga ulamak yang mewajibkannya. Menurut al-Hafidz Ibn Hajar al-‘Asqalani rahimahullah:
فَإِذَا رَأَيْتُمُوهُمَا فَافْزَعُوا إِلَى الصَّلاَةِ
Maksudnya:
Apabila kamu semua melihat kedua-duanya (matahari dan bulan mengalami gerhana), bersegeralah solat. – Hadis riwayat al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Jumu’ah, no: 1046.
لَمَّا كَسَفَتْ الشَّمْسُ عَلَى عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نُودِيَ إِنَّ الصَّلاَةَ جَامِعَةٌ
Maksudnya:
Ketika terjadi gerhana matahari pada masa Rasulullah s.a.w, lantas diserukan innas solata jami'ah (sesungguhnya solat berjemaah akan didirikan). – Hadis riwayat al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Jumu’ah, no: 1045.
Terdapat Empat Kali Rukuk.
Berbeza dengan solat-solat sunat yang lain, solat Gerhana memiliki empat kali rukuk, iaitu dua kali rukuk setiap rakaat.
Aisyah radhiallahu’ anha berkata:
خَسَفَتْ الشَّمْسُ فِي عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَصَلَّى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِالنَّاسِ فَقَامَ فَأَطَالَ الْقِيَامَ ثُمَّ رَكَعَ فَأَطَالَ الرُّكُوعَ ثُمَّ قَامَ فَأَطَالَ الْقِيَامَ وَهُوَ دُونَ الْقِيَامِ الْأَوَّلِ ثُمَّ رَكَعَ فَأَطَالَ الرُّكُوعَ وَهُوَ دُونَ الرُّكُوعِ الْأَوَّلِ ثُمَّ سَجَدَ فَأَطَالَ السُّجُودَ ثُمَّ فَعَلَ فِي الرَّكْعَةِ الثَّانِيَةِ مِثْلَ مَا فَعَلَ فِي الأُولَى ثُمَّ انْصَرَفَ وَقَدْ انْجَلَتْ الشَّمْسُ
Maksudnya:
Terjadi gerhana matahari pada masa Rasulullah s.a.w lantas Rasulullah s.a.w mengimami solat orang ramai. Baginda berdiri dan memanjangkan berdiri, kemudian rukuk dan memanjangkan rukuk.
Kemudian baginda berdiri dan memanjangkan berdiri namun lebih pendek dari berdiri yang pertama. Kemudian baginda rukuk dan memanjangkan rukuk, namun lebih pendek dari rukuk yang pertama.
Kemudian baginda sujud dan memanjangkan sujud seterusnya melakukan pada rakaat kedua sama seperti yang dilakukan pada rakaat pertama.
Kemudian baginda selesai solat dan matahari telah kelihatan sinarnya kembali. - Hadis riwayat al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Jumu’ah, no: 1044.
Menerusi hadis di atas dapat kita fahami bahawa perbezaan solat Gerhana berbanding solat-solat yang lain ialah sebaik sahaja membaca al-Fatihah dan mana-mana surah dari al-Quran kita hendaklah rukuk. Kemudian bangun kembali dan sekali lagi membaca al-Fatihah dan mana-mana surah dari al-Quran lalu rukuk semula. Kemudian iktidal lalu sujud dan teruskan solat sebagaimana solat-solat yang lain.
Ulangi perkara yang sama pada rakaat kedua. Tidak terdapat riwayat yang menunjukkan adanya zikir-zikir atau bacaan yang khusus untuk solat Gerhana ketika rukuk, iktidal, sujud, duduk antara dua sujud dan tahiyyat. Oleh itu, kita boleh membaca apa jua bacaan ketika solat yang sabit daripada Rasulullah s.a.w sebagaimana yang terdapat dalam hadis.
Ringkasan Tatacara Mengerjakan Solat Gerhana
Rakaat Pertama
1) Berniat di dalam hati untuk mengerjakan solat Gerhana (Kusuf atau Khusuf)
2) Takbiratul Ihram
3) Doa Iftitah
4) Membaca surah al-Fatihah
5) Membaca Surah al-Qur’an
6) Rukuk
7) Iktidal
8) Membaca Surah al-Fatihah
9) Membaca Surah al-Qur’an
10) Rukuk
11) Iktidal
12) Sujud
13) Duduk antara dua sujud
14) Sujud kali kedua
15) Bangun untuk rakaat kedua
Rakaat Kedua
1) Membaca surah al-Fatihah
2) Membaca Surah al-Qur’an
3) Rukuk
4) Iktidal
5) Membaca Surah al-Fatihah
6) Membaca Surah al-Qur’an
7) Rukuk
8) Iktidal
9) Sujud
10) Duduk antara dua sujud
11) Sujud kali kedua
12) Duduk untuk tahiyyat akhir
13) Memberi salam ke kanan dan ke kiri
Aisyah radhiallahu’ anha berkata:
خَسَفَتْ الشَّمْسُ فِي حَيَاةِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَخَرَجَ إِلَى الْمَسْجِدِ فَصَفَّ النَّاسُ وَرَاءَهُ فَكَبَّرَ... فَاسْتَكْمَلَ أَرْبَعَ رَكَعَاتٍ فِي أَرْبَعِ سَجَدَاتٍ وَانْجَلَتْ الشَّمْسُ قَبْلَ أَنْ يَنْصَرِفَ ثُمَّ قَامَ فَأَثْنَى عَلَى اللَّهِ بِمَا هُوَ أَهْلُهُ
Maksudnya:
Terjadi gerhana matahari pada zaman Nabi s.a.w lantas baginda keluar menuju ke masjid dan orang ramai berbaris di belakangnya, lalu baginda bertakbir… Baginda s.a.w menyempurnakan empat kali rukuk pada empat kali sujud dan matahari telah mula kelihatan sebelum baginda selesai solat. Kemudian baginda berdiri lalu memuji Allah sebagaimana yang layak untuk-Nya (semasa berkhutbah). – Hadis riwayat al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Jumu’ah, no: 1046.
SUMBER ===> MINDA AKOB
Ulasan
Catat Ulasan