SOLAT dan NILAInya

:: di manakah kita di sisi ALLAH...?::


NILAI SOLAT KITA

Peringkat-peringkat solat, nilaikan dimana tahap solat kita.
Dalam era membaiki diri ini, kita cuba check solat kita, nanti akan
terjawab kenapa kita tidak dibantu, dan ini juga gambaran secara
keseluruhannya, mengapa umat islam terbiar dan tiada pembela dan umat
Islam kini tidak lagi menjadi umat yang agung seperti dulu.

Golongan 1

Kita boleh lihat hari ini sudah ramai umat Islam yang tak solat,
bahkan ramai juga yang tak tahu nak solat, mereka telah jatuh
kafir. Imam Malik kata jatuh kafir kalau tak solat tanpa sebab.
Imam Syafie kata jatuh fasik kalau ia masih yakin sembahyang itu fardu.

Golongan 2

Orang yang mengerjakan solat secara zahir sahaja, bacaan pun masih
tak betul, taklid buta, main ikut-ikut orang sahaja. Tidak mempelajari
cara-cara untuk solat secara rasmi atau tidak. Ilmu tentang solat
tiada. Golongan ini tertolak bahkan berdosa besar dan hidup dalam
keadaaan derhaka kepada Allah Taala.

Golongan 3

Orang yang mengerjakan solat, bahkan tahu ilmu mengenai solat,
tetapi tak boleh lawan nafsu terhadap tarikan dunia yang kuat. Jadi
mereka ini sekejap solat, sekejap tidak. Kalau ada masa dan mood
baik ia solat, kalau sibuk dan terkocoh kacah, ada program kenduri,
pesta ria, berziarah, bermusafir, letih dan penat, maka ia tak
solat.Orang ini jatuh fasik.

Golongan 4

Orang yang solat, kalaupun ilmunya tepat, fasih bacaannya, tetapi
tak khusyuk kalau diperiksa satu persatu bacaannya, lafaznya banyak yang
dia tak faham, fikirannya tak terpusat atau tak tertumpu sepenuhnya pada
solat yang dilaksanakannya itu disebabkan tak faham apa yang dia
baca.Cuma main hafal saja. Jadi fikirannya terus tertumpu pada dunia dan
alam sekelilingnya. Fikirannya mengembara dalam solat, orang ini
lalai dalam solat. Neraka wail bagi orang ini.

Golongan 5

Golongan yang mengerjakan solat cukup lima waktu, tepat ilmunya,
faham setiap bacaan solat, fatihahnya, doa iftitahnya, tahiyyatnya,
tapi tak dihayati dalam sembahyang itu. Fikirannya masih melayang
mengingatkan perkara dunia, dek kerana faham saja tetapi tidak dihayati.
Golongan ini dikategorikan sebagai sembahyang awamul muslimin.

Golongan 6

Golongan ini baik sedikit dari golongan yang ke lima tadi, tetapi main
tarik tali didalam solatnya, sekali sekala khusyuk, sekali sekala
lalai pula. Bila teringat sesuatu didalam solatnya, teruslah
terbawa bawa, berkhayal dan seterusnya. Bila teringat Allah secara tiba
tiba maka insaf dan sedarlah semula, cuba dibawa hatinya serta
fikirannya untuk menghayati setiap kalimat dan bacaan didalam
solatnya. Begitulah sehingga selesai solatnya. Ia merintih dan
tak mahu jadi begitu, tapi terjadi jua. Golongan ini adalah golongan
yang lemah jiwa. Nafsunya bertahap mulhamah (ertinya menyesal akan
kelalaiannya dan cuba baiki semula, tapi masih tak terdaya kerana tiada
kekuatan jiwa). Golongan ini terserah kepada Allah.Yang sedar dan
khusyuk itu mudah mudahan diterima oleh Allah, mana yang lalai itu moga
moga Allah ampunkan dosanya, namun tiada pahala nilai solat itu.
Ertinya solatnya tiada memberi kesan apa apa.

Golongan 7

Golongan yang mengerjakan solat yang tepat ilmunya, faham secara
langsung bacaan dan setiap lafaz didalam solatnya. Hati dan
fikirannya tidak terbawa-bawa dengan keadaan sekelilingnya sehingga
pekerjaan atau apa pun yang dilakukan atau yang difikirkan diluar
solat itu tidak mempengaruhi solatnya. Walaupun ia memiliki
harta dunia, menjalankan kewajiban dan tugas keduniaan seperti
perniagaan dan sebagainya namun tidak mempengaruhi solatnya.
Hatinya masih dapat memuja Allah didalam solatnya. Golongan ini
disebut orang-orang soleh / golongan abrar / ashabul yamin.

Golongan 8

Golongan ini seperti juga golongan tujuh tetapi ia mempunyai kelebihan
sedikit iaitu bukan saja faham, dan tak mengingati dunia didalam
solatnya, malahan dia dapat menghayati setiap makna bacaan
solatnya itu, pada setiap kalimah bacaan fatihahnya, doa
iftitahnya, tahiyyatnya, tasbihnya pada setiap sujudnya dan setiap gerak
gerinya dirasai dan dihayati sepenuhnya. Tak teringat langsung dengan
dunia walaupun sedikit . Tapi namun ia masih tersedar dengan alam
sekelilingnya. Pemujaan terhadap Allah dapat dirasai pada gerak dalam
solatnya. Inilah golongan yang dinamakan golongan Mukkarrabin (Yang
hampir dengan Allah )

Golongan 9

Golongan ini adalah golongan yang tertinggi dari seluruh golongan tadi.
Iaitu bukan saja ibadah solat itu dijiwai didalam solat
malahan ia dapat mempengaruhi di luar solat. Kalau ia bermasalah
langsung ia solat, kerana ia yakin solat punca penyelesai
segala masalah. Ia telah fana dengan solat. Solat telah
menjadi penyejuk hatinya. Ini dapat dibuktikan didalam sejarah, seperti
solat Saidina Ali ketika panah terpacak dibetisnya. Untuk
mencabutnya, ia lakukan solat dulu, maka didalam solat itulah
panah itu dicabut. Mereka telah mabuk dengan solat. Makin banyak
solat makin lazat, solatlah cara ia nak lepaskan kerinduan
dengan tuhannya. Dalam solatlah cara ia nak mengadu-ngadu dengan
Tuhannya. Alam sekelilingnya langsung ia tidak hiraukan. Apa yang nak
jadi disekelilingnya langsung tak diambil peduli. Hatinya hanya pada
Tuhannya. Golongan inilah yang disebut golongan Siddiqin. Golongan yang
benar dan haq.

Setelah kita nilai keseluruhan 9 peringkat solat itu tadi, maka
dapatlah kita nilai solat kita di tahap yang mana. Maka ibadah
solat yang boleh membangunkan jiwa, membangunkan iman, menjauhkan
dari yang buruk boleh mengungkai mazmumah, menanamkan mahmudah,
melahirkan disiplin hidup, melahirkan akhlak yang agung ialah golongan
7, 8 dan 9 sahaja. Sembahyangnya ada kualiti, manakala golongan yang
lain jatuh pada kufur fasik dan zalim.

Jadi dimanakah tahap solat kita ? Perbaikilah diri kita mulai dari
sekarang. Jangan tangguh lagi. Pertama-tama soalan yang akan ditujukan
kepada kita di akhirat nanti ialah solat / sembahyang kita. Marilah
bersama membaiki solat kita agar segara dapat bantuan dari Allah, agar
terhapuslah kezaliman, semoga tertegak kembali daulah Islam.Insya
Allah...

Marilah kita berMUHASABAH
Dimanakah solat kita?
Adakah solat yang kita lakukan itu telah menunjukkan kesannya dalam
gerakan kita/penglibatan kita/tanggungjawab kita sebagai seorang ahli
jemaah? Moga kita bersama harapkan solat kita itu benar-benar menjadi tiang
agama. Adakah segalanya yang kita lakukan kelmarin...hari ini dan esok hasil
kesan solat kita?
Oleh itu bersama-samalah kita saling mengingati antara satu sama lain..

p/s :: ikhlas kerana ALLAH

Ulasan

Catatan Popular